SAYA ada berhutang pembelian perabot dengan seorang pemilik kedai berbangsa Cina lebih kurang 20 tahun lalu. Masalah saya ialah saya sudah tidak dapat menghubungi pemilik kedai tersebut dan kedainya juga sudah tiada lagi.
JAWAPAN :
Hikmah syarak membenarkan amalan berhutang cukup jelas untuk merealisasikan kehendak Allah yang mahu mewujudkan suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketakwaan sesama umat Islam.
Ia juga mengajak manusia supaya menyelesaikan masalah secara bekerjasama. Namun, jangan jadikan hutang sebagai alat untuk menindas orang lain. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang mengambil harta benda orang lain dalam keadaan dia mahu membayarnya semula, maka Allah akan membayar untuknya. Sesiapa yang mengambil dengan niat untuk memusnahkannya (untuk tidak membayarnya), maka Allah akan memusnahkannya (di dunia dan di akhirat)." (Riwayat al-Bukhari).
Bagi menguruskan hutang yang tidak diketahui tuannya, sama-sama kita rujuk kepada Syaikh Ibnu 'Uthaimin Rahimahullah. Beliau mengatakan:
"Apabila kamu mempunyai hutang kepada seseorang dan kamu merasa belum membayarnya dan merasa hutang tersebut masih ada sampai orang yang memberi hutang mengambil haknya, dan apabila orang yang memberi hutang tadi telah meninggal, maka hutang tersebut diberikan pada ahli warisnya.
Jika kamu tidak mengetahui ahli warisnya atau tidak mengetahui orang tersebut atau tidak mengetahui di mana dia berada, maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah mengetahui hal ini dan akan menunaikan pada orang tersebut." (Syarh Riyadhis Sholihin, Bab Taubat, 1/47)
Sebagai panduan kepada kaedah penyelesaian ini:
1. Memastikan bahawa tuan punya hutang itu benar-benar tidak dapat temui setelah pelbagai cara hebahan dilakukan.
2. Jika masih tidak kita temui, maka melunaskan hutang itu melalui warisnya.
3. Jika masih tidak diketahui warisnya setelah pelbagai cara hebahan dilakukan, maka bolehlah diuruskan harta itu
kepada pihak Baitulmal sebagai badan yang berautoriti.
Penyelesaian tersebut menunjukkan betapa pentingnya hutang itu dilangsaikan kerana berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Diampunkan dosa orang yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia". (Riwayat Muslim 6/38).
Jadi marilah kita sama-sama mengingatkan diri kita seandainya masih lagi mempunyai hutang kerana perkara yang perlu dilaksanakan sebelum pembahagian pusaka adalah melangsaikan hutang si mati.
Kesimpulannya : Jika kita berwasiat, pembayaran hutang adalah menjadi keutamaan dalam agihan harta pusaka. tanpa penulisan wasiat mungkin waris kita terlupa dan leka menyelesaikan hutang-hutang kita.
Dapatkan info panduan penulisan wasiat dan ilmu berkaitan wasiat secara percuma. Untuk membaca news info wasiat dari facebook anda sila click "Like".