Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan di bahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah;
1. Tanah 2. Bangunan (rumah). 3. Barang kemas (emas, perak dll). 4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak). 5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.
Islam amat mengambilberat tentang pembahagian harta pusaka si mati dengan menentukan suatu peraturan yang rapi secara huraian yang kemas berhubung dengan pusaka iaitu dengan ditentukan dengan betul-betul siapakah waris-waris yang benar-benar layak boleh menerima pusaka dan kadar habuan-habuan mereka. Ilmu yang berkaitan dengan pembahagian pusaka ini dikenali sebagi ilmu faraid.
Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh Allah SWT secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah wajib untuk ditunaikan dan fardu kifayah kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah. Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana Allah sebagai pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.