Abang ipar saya telah meninggal dunia dan ada meninggalkan beberapa harta. Suami saya telah diamanahkan untuk menguruskan segala peninggalannya. Masalahnya, apabila suami saya ingin menguruskan secara faraid, isteri arwah (kakak ipar) menyatakan bahawa segala jumlah harta peninggalan haruslah ditolak dahulu harta sepencarian.
Pertanyaan saya:
1. Adakah betul harta tersebut harus dibahagi dua dahulu kemudian baru di faraidkan? Kakak ipar tidak bekerja dan rasanya tiada antara harta di atas yang boleh dikira sebagai harta sepencarian.
2. Insurans takaful - adakah menjadi milik penama sepenuhnya (atas nama kakak ipar) dan tidak menjadi harta pusaka?
3. Adakah wang simpanan dalam akaun anak-anak (akaun bersama) merupakan harta pusaka juga?
4. Bagaimanakah cara terbaik untuk menguruskan kesemua harta peninggalan di atas?
Daliyah Abu,
Subang, Selangor.
Jawapan:
Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.
Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa' menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.
Sebahagian daripada surah al-Nisaa' ayat 12 yang bermaksud, "Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu."
"Telah bercampur harta suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak - tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya - kemudian berlaku perpisahan antara kedua-duanya ataupun mati, maka tidak sah salah seorang daripada mereka (suami isteri) atau warisnya memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum adanya persetujuan antara pihak-pihak (sulh), kecuali bersama-sama dengan pemiliknya oleh kerana tidak ada murajjih (tanda yang membezakan diantara harta-harta berkenaan)."
Oleh itu, walaupun tidak bekerja, setiap kerja rumah yang telah dicurahkan juga diambil kira sebagai sumbangan kepada harta sepencarian. Kakak ipar puan berhak ke atas harta sepencarian sebelum dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Malah dia juga masih berhak terhadap satu perlapan daripada harta pusaka arwah suaminya.
Berkenaan dengan insurans takaful, secara amnya, penama dalam polisi itu akan mendapat faedah daripadanya. Tetapi, jika ada antara waris yang sah mempertikaikan hak penama ke atas polisi tersebut, maka pembahagian secara faraid akan dilakukan. Penama polisi akan menjadi pentadbir pembahagian tersebut.
Wang simpanan dalam akaun anak-anak arwah merupakan akaun amanah. Kami percaya bahawa tujuan arwah membuka akaun untuk anak-anaknya adalah supaya masa depan mereka terjamin. Oleh itu, wang simpanan tersebut merupakan hak mutlak anak-anak arwah.
Kakak ipar puan boleh meminta supaya pihak bank menukar nama arwah kepada namanya supaya senang dia menguruskan akaun anak-anaknya kelak. Prosedur penukaran nama ini bergantung kepada bank yang berkenaan.
Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Malah, untuk mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain suami puan, kakak ipar juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suaminya. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantunya sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak-anaknya.